[SUMBER] Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Al-KAFILI AL-FATAWI
AL-KAFI #284 : YURAN PERTANDINGAN SEBAGAI HADIAH
Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 08 Jun 2016
AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 284 (8 JUN 2016 M/3 RAMADHAN 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum Ustaz,
Saya ingin menganjur pertandingan dimana saya mengenakan yuran penyertaan kepada peserta. Dengan duit penyertaan tersebut saya kumpul dan berikan kepada pemenang pertandingan, gaji pengadil yang bertugas, duit sewa seperti sewa tempat, bil eletrik dan lain-lain.
Adakah perbuatan tersebut sebagai judi? Terima kasih
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi judi diertikan sebagai: “permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan”.
Definisi ini tidak jauh dengan makna pertaruhan (qimar), seperti yang ditakrif oleh Imam al-Jurjani sebagai:
كل لعب يشترط فيه غالبًا من المتغالبين شيئًا من المغلوب
Maksudnya: Setiap permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti duit) kepada peserta yang menang.
Rujuk al-Ta’rifat (ms. 179)
Perbuatan ini dilarang di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.
Surah al-Baqarah, 2:219
Imam al-Tabari dalam tafsirnya ayat ini menyatakan orang yang bertaruh juga dipanggil orang yang berjudi. Rujuk Jami’ al-Bayan (4/322).
Dalam ayat lain, Allah SWT juga berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Surah al-Ma’idah, 5:90)
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut dalam kitabnya yang telah kami terjemahkan, Halal & Haram dalam Islam (ms. 558):
“Tetapi sekiranya hadiah tersebut (atau benda pertaruhannya) dikeluarkan dari kedua-duanya sekali dan mereka yang bertaruh dengan syarat siapa yang menang antara keduanya, maka dia berhak mengambil kedua-duanya (taruhan) sekali. Maka jelaslah ini merupakan perjudian yang diharamkan oleh Islam.”
Justeru, mengambil yuran peserta bagi tujuan hadiah kepada para pemenang ialah satu bentuk pertaruhan yang diharamkan kerana mengakibatkan kerugian melalui main nasib atas pihak yang kalah. Maka, dicadangkan agar penganjur mencari penaja untuk menaja hadiah para pemenang.
Adapun, yuran peserta digunakan untuk belanja pentadbiran seperti sewaan padang, dan peralatan, maka itu dibenarkan kerana semua peserta berkongsi manfaat bersama.
Wallahua’lam...
[ GAMBAR SEKADAR HIASAN ] #ItsAllAboutDarts |
No comments:
Post a Comment