14 November 2014

HARIAN METRO 14 NOVEMBER 2014 DART BIDIK DUA EMAS DI WDF ASIA CUP XVll HONG KONG 2014

Kuala Lumpur: Pasukan dart negara mempamerkan aksi membanggakan pada kejohanan Piala WDF Asia Pasifik (APC) 2014 di Hong Kong dari 4 hingga 7 November lalu apabila berjaya merangkul dua emas, satu perak dan tiga gangsa.
Emas diraih menerusi acara riben biru perseorangan lelaki dan berpasukan manakala gangsa diperoleh menerusi acara beregu lelaki dan wanita serta perseorangan lelaki.
Pingat perak pula diraih pasukan selepas mengumpul mata kedua terbanyak keseluruhan dalam semua acara.
Skuad negara dianggotai Norhisame Wahab sebagai kapten, P Kesava Rao, Mohd Nasir Jantan, Rohana Mohd Jali, Zulrizan Azdan dan Bernadette Philippa Walters menewaskan pasukan tuan rumah pada aksi final yang cukup mendebarkan sebelum menang 4-2.
“Kami sangat bangga kerana berjaya mengharumkan nama negara. Kejayaan ini hasil sokongan padu semua pihak termasuk Persatuan Dart Malaysia (MDA).
“Saya harap kemenangan ini memberi inspirasi kepada pemain dart lain untuk meningkatkan sukan ini pada masa depan,” kata Nasir yang meraih pingat emas perseorangan lelaki.
Selain Malaysia dan Hong Kong, Australia, Korea Selatan, Jepun dan Brunei turut bertanding.
Pengurus pasukan K Saegaran bangga hasil kerja keras dan pengorbanan akhirnya Malaysia muncul juara kejohanan berprestij itu.
Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Dart Malaysia (MDA) berharap kejayaan itu menyemarakkan sukan dart di Malaysia dan memudahkan aspek penajaan daripada syarikat korporat kerana persatuan terpaksa mencari perbelanjaan sendiri menyertai pertandingan di Hong Kong.
“Syabas kepada semua pemain negara dan diharapkan kejayaan ini berterusan pada masa akan datang,”katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:07AM

No comments:

Post a Comment